Saturday, March 11, 2006

Bismillah

Wahai anak-anak cucu orang Melayu.Kita punya asal salasilah.Nenek-nenek kita menitipkan kita dengan iman.Tanah kita di tengah-tengah pertemuan jalan perdagangan.Tanah kita persinggahan ilmu.Ya.Nenek-nenek kita pelayar, pedagang, guru, pemikir, pengukir, pembakti, petani, penyair, pencinta ilmu, pembina ilmu, pengaman sejagat yang hebat.Membina martabat di persada antarabangsa.Dulu dan kini.Selamanya.Ya.Selagi ada iman.Kerana iman yang memartabatkan kita.Ya.Kerana itulah maka lahirnya penyantun yang sopan, pembudi yang ikhlas, penimbang rasa.Kata berhalus, bicara berlapik.Tidak kenal erti bohong kerana patuh pada janji nenek "Siakap senohong gelama ikan duri,bercakap bohong lama-lama mencuri".Nenek-nenek kita berpesan agar kita menyayangi anak-anak cucu bangsa lain yang berbuat baik pada anak-anak cucu orang Melayu.Kerana salasilah nenek kita datang dari Tanah Arab,Tanah India, Tanah Siam, Tanah Cina, Tanah Jepun, Tanah Jawa, Tanah Sumatera, yang bersatu atas satu iman.Tapi nenek-nenek kita berpesan jangan sampai termakan budi.Nenek-nenek kita berpesan agar kita jangan takut untuk bermimpi.Kerana manusia-manusia agung juga telah bermimpi.Bermimpi dan mengusahakan mimpi.Cuma nenek-nenek kita khuatir kalau-kalau kita berangan-angan.Kerana angan-angan umpama menuliskan mimpi di atas angin.Tulislah mimpi-mimpi itu pada daun-daun kertas, kerana pasti ada anak-anak cucu orang Melayu yang bakal lahir akan bangun mengusahakan mimpi itu.Biarlah orang lain mentertawakan pada mimpi kita yang tertulis pada kertas itu, kerana mimpi adalah wawasan untuk hari esok.Usahakanlah mimpi.