Sunday, August 21, 2005

Bismillah
Melayu perlu pegang falsafah perniagaan - Dr. M
BUTTERWORTH 20 Ogos - Peniaga Melayu dinasihatkan supaya berpegang kepada falsafah perniagaan yang betul dan tidak hanya mementingkan keuntungan dengan mengurangkan kos pengeluaran kerana tindakan itu akan menyebabkan mereka tidak dapat bertahan lama dalam bidang perniagaan.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata orang Melayu memegang falsafah yang salah iaitu mengorbankan kualiti produk perniagaan mereka semata-mata kerana mahukan keuntungan yang besar.

``Sebagai contoh, kita ada juga pengusaha yang buat burger untuk dijual tepi jalan, tapi falsafah tak berapa kena. Kalau kita nak buat kenduri, kita beli daging yang terbaik, masakan cukup sedap... tapi kalau nak berniaga, makanan jadi tak sedap, kurangkan kos nak tingkatkan keuntungan, beli daging urat, cuba benda-benda yang murah supaya untung lebih banyak,'' katanya.

Berucap pada majlis makan malam ulang tahun ke-25 Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Pulau Pinang di sini malam tadi, beliau berkata memang peniaga boleh membuat keuntungan yang besar dengan mengurangkan kos tetapi makanan tidak sedap dan mereka hanya boleh bertahan sekejap sahaja kerana tidak mementingkan citarasa pengguna.

Secara berseloroh, Dr. Mahathir berkata beliau pernah membeli burger daripada seorang peniaga di Alor Star dan peniaga itu menekan daging burger yang kecil supaya menjadi besar dan sesuai dengan saiz roti ban yang digunakan.

``Memanglah burger itu nampak besar, tetapi orang macam ini tidak akan lama berniaga. Mereka akan cepat tutup kedai,'' jelas beliau.

Beliau berkata antara kelemahan lain yang perlu diperbetulkan oleh peniaga Melayu ialah mereka perlu tahu bagaimana cara untuk mengembangkan perniagaan kerana kebanyakan mereka dapat menghasilkan produk yang boleh diterima pengguna.

Katanya peniaga Melayu gagal mengikis sifat terlalu bergantung kepada sesuatu perniagaan semata-mata tanpa mengembangkan perniagaan itu ke peringkat yang lebih luas.

Mengenai masalah yang dihadapi oleh peniaga kecil seperti kekurangan modal dan tempat perniagaan, Dr. Mahathir berkata beliau pernah menulis buku ``Panduan Peniaga Kecil'' kerana menyedari masalah yang dihadapi peniaga kecil sejak lama dahulu kerana beliau pernah menjadi peniaga kecil di Pekan Rabu, Alor Star.

Katanya kebanyakan peniaga menghadapi pelbagai kesukaran dalam tem-poh empat tahun pertama perniagaan kerana belum memahami sepenuhnya perniagaan yang dijalankan dan terpaksa menanggung pelbagai kos.

``Kadang-kadang berniaga masuk tahun kelima baru untung, kerana pada tahun pertama hingga keempat, belum tahu cara perniagaan, akan rugi kerana pelbagai kos. Tetapi sekiranya mereka belajar dan mengkaji apa yang disukai pelanggan dan disediakan apa yang disukai pelanggan, mereka akan berjaya mengatasi masalah itu,'' jelas beliau.

Beliau yakin peniaga Melayu boleh berjaya dalam perniagaan mereka kerana peniaga Melayu juga mempunyai kebolehan berniaga seperti kaum-kaum lain.

Turut hadir pada majlis itu ialah isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Ketua Menteri Datuk Abdul Rashid Abdullah, Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia Datuk Ramli Norani dan Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Pulau Pinang, Datuk Abdul Majid Abu Bakar. - Bernama


walaupun secara peribadinya aku tidak suka kepada yang telah Tun lakukan terhadap bekas Timbalannya...tapi bukan bermakna seluruh nasihatnya aku perlu abaikan...maka aku memilih yang terbaik untuk jadi pedoman hidup aku...


wassalam