Thursday, August 25, 2005

Bismillah

Cerpen pendek ni aku pinjam dari blog Faisal Tehrani...best juga gaya dia bercerita...

RATU KOSMETIK
OLEH FAISAL TEHRANI
(Cerpen ini tersiar di majalah URTV 15-31 Ogos 05)

1.
NENDA Puteri Gunung Ledang yang amat dicintai,
Suka benarlah hati cucunda kerana nenda sudi menerima hamba yang tidak seberapa ini untuk berkursus hal-hal kosmetik Melayu. Adapun orang Melayu kita sekarang entah apa-apa, ditepek dilepuk krim entah ususnya babi ataupun uri ungka. Kadang kala hamba naik ngeri juga, apa disuguh atas nama kecantikan diterima sahaja. Baiklah yang datang itu orang putih tidak berbahasa,

atau nasrani Manila, atau sahaja nyonya dari Hainan semuanya diambil tanpa tolak sorong bawa ketepi. Justeru inilah hamba ingin memanjatkan harapan supaya generasi perempuan Melayu sekarang terpelihara dari meletak bahan-bahan tidak suci pada muka, nak dihulur telekung buat bersembahyang pun tidak lut dek air, jenis lemak binatang biawak apa agaknya.

2.
Cucunda Che Gayah yang amat kita sayangi,
Benarlah perkiraan cucunda itu, moleklah bertanya orang yang tahu. Ramai sungguh mahu tahu rahsia keayuan perempuan Melayu, perlukah bertapa menjadi seperti kita. Malam keluar sedang siang bersembunyi dalam belukar. Apakah itu rahsia kecantikan Melayu?
Tidak cucunda Che Gayah. Biarlah kita jelaskan beberapa tahap untuk mendapat kecantikan sejati itu. Moga-moga cucunda akan memahami bahawa tujuan kita menjadi cantik untuk memuliakan Allah jua. Kerana Allah itu cantik dan suka yang cantik. Bahkan kalau kita ini isteri orang, mendapat pahala bercantik-cantikan untuk suami. Biar sampai suami tak senang duduk memandang rupa kita. Umpama bidadari jua. Inilah rahsia nenda, diberi untuk tatapan cucunda sahaja. Jangan sampai sesiapa pun tahu. Adapun yang pertama itu sirih. Di zaman dahulu kala sirih itu banyak gunanya. kalau saintis zaman cucunda tentu sahaja mengatakan piper beetle ini boleh diperah pati minyaknya. Sampai mendapat bahan kimia yang namanya jika tidak silap nenda ialah cuginol dan kavikol, juga bahan flavornoid dan polyphenol. Serasi sekali gunanya untuk menegangkan kulit muka. Habis hilang kedut-kedut yang ada. Macam anak dara sahaja parasnya. Itulah nenda, sudah berumur hampir 500 tahun tetapi masih berminyak berpati rupa. Kesannya awet muda. Inilah rahsia yang nenda kongsikan bersama Tun Teja sampaikan cantiknya meletup-letupan.
Janganlah ditaruh pada muka bahan kimia dari Barat entah apa. Sudahlah rosak muka, bendanya najis pula. Diharap menjadi cantik tetapi serupa burung hantu sahaja.
3.
Nenda Puteri Gunung Ledang yang ayu ke urat-urat tersembunyi, izinkan hamba bertanya, benarkah nenda ini puteri Jawa beragama Hindu? Pandai sungguh bermain mata dengan Tun Tuah sampaikan Sultan Melaka naik cemburu. Dikatakan sejarawan sekarang nenda ini cantiknya tidak terperi, serasa tak tertandingkan mana-mana wanita Melayu. Benarkah itu? Ada cucunda mendengar yang nenda ini kuat memakan jambu batu. Apakah rahsianya sampai begitu? Janganlah nenda menyimpan-nyimpan daripada cucunda, tak elok sekali. Moleknya biarlah nenda meleraikan segala yang ada buat pedoman kita khususnya, perempuan Melayu umumnya. Bolehkah nenda?
4.
Che Gayah, pandai sungguh cucunda mengampu nenda, serasa-rasa tak berpijak di bumi nyata pula.
Adapun dakwaan-dakwaan mengatakan nenda ini orang Hindu, orang Jawa dan gemar berkemban pula biarlah nenda katakan begini: Nenda ini khalifah Allah di muka bumi, tak mengapalah Jawa atau Rawa, Batak atau Sasak, semuanya makhluk ciptaan Tuhan. Akan tetapi hidup nenda memang abadi di sini, di Gunung Ledang ini kerana nenda mahu membersihkan diri. Di luar sana terlalu banyak kekotoran, kehodohan yang amat menakutkan sampaikan nenda tidak lalu untuk menjengah muka. Anak-anak gadis kita cantik apa? Urat pun tidak bertutup, alur terjulur, peribadi jauh dari mulia, adab tidak ada akhlak pula terlontar entah ke mana. Inilah kehodohan yang amat nenda geruni. Sudah dekat dengan kiamat kita ini. Biarlah nenda duduk berzikir sahaja, ingin mendapat taraf wali.
Adapun apakah benar nenda ini suka berkemban sahaja? Jawapannya, issyyy cucunda ini, masakan boleh nenda berkemban di tempat yang banyak nyamuk begini? Nanti habis dilatam ditalu tubuh nenda yang putih gebu ini. Janganlah cucunda percaya apa-apa yang karut itu, buat mendatangkan dosa sahaja.
Adapun apakah benar nenda ini suka benar dengan jambu batu. Taklah nenda nafikan. Malah nenda mahu iyakan dan memberitahu bahawa ada rahsia besar di sebaliknya. Jambu batu atau nama saintifiknya psidium guajava itu amat bagus dan banyak sekali khasiatnya. Daun dan pucuknya mengandungi bahan anti microbial bak kata orang nasrani, sifatnya lembab dan anti bau. Paling baik untuk kulit muka. Lain dari itu buah jambu batu elok dikering dan digiling, janganlah cucunda malu, setelah keping jambu itu panas di bawah matahari sentallah di bawah ketiak cucunda tersebut. Gunanya untuk menghilangkan bau masam peluh. Jangan sampai ketiak berbau semacam dua, atau lebih hina dina berbau bermacam-macam membuat orang terasa loya. Kalau bulu ketiak tidak dicukur lebih dahsyat lagi tak terkata. Jambu batu itu juga elok dimakan supaya menjadi sumber tenaga. Begitulah serba sedikit petua dapat nenda kongsikan bersama cucunda Che Gayah.
5.
Girang sungguh hati cucunda dapat petua menyental ketiak. Tak berkalimat nak didakwat kepada nenda, maklumlah banyak sungguh pelajaran dapat ditekuni. Moga-moga menjadi kebaikan untuk kita juga semua. Hebat sungguh orang Melayu ini, menyimpan banyak rahsia kecantikan tak terlawan dek bangsa lain, apatah lagi bangsa dari Barat. Tahu apa mereka itu?
Harapnya nenda janganlah berahsia-rahsia lagi. Cucunda merasakan nenda ada melindungi sesuatu. Tolonglah selamatkan perempuan Melayu, banyak mereka memakai benda yang merapu.
6.
Che Gayah cucunda kita, sungguh cucunda ini tak lelah mengecek ilmu. Baiklah biar nenda jelakan lagi inti sari yang mana perlu. Tumbuhan yang lain untuk keperluan kecantikan, dapat digunakan minyak zaitun dan air mawar. Tumbuhan ini rasanya sejuk dan sangat berkesan dalam melembutkan kulit. Tumbuhan lain yang mesti cucunda perhatikan tak lain tak bukan daun lidah buaya untuk memperhalus kulit serta pangkal batang pokok pisang untuk melembutkan kulit telapak kaki yang kasar diganding ketimun untuk merawat wajah. Campuran pati kentang kalau digaul dengan pati mengkuang dan air mawar dapat melembutkan dan memutihkan kulit. Sedang bayam boleh diusahakan menjadi serbuk ubat jerawat. Khasiatnya untuk menguncupkan jerawat dan menghilangkan rasa gatal di muka.
Cucunda memang bangsa Melayu hebat menampung ilmu pelbagai, sayang orang tak berapa mahu menjadi Melayu. Yang mereka gilakan yang Barat-barat itulah. Adapun tokoh kosmetik ada wujud dalam dunia Islam satu masa dahulu. Nama ilmuan ini al-Zahrawi, dalam bahasa Latinnya Albucassis. Hidup di Cordoba, Andalusia antara tahun 936 hingga 1013 masehi. Terdapat sebuah kitabnya bernama at-Tasreef 30 juzuk semua. Juzuk 19 itu yang wajar cucunda gali. Memang khusus tentang ilmu-ilmu menjaga kecantikan ini. Ada dibincangkan cara membuat deodoran, mencabut bulu roma, membuat losyen tangan, sampaikan kaedah mewarna rambut dengan inai pun ada. Dalam juzuk itu bab adwiyat al-zinah malah menerangkan cara membuat lipstik, dan sabun serbuk untuk mencuci pakaian. Cucunda Che Gayah, lihatlah peradaban 800 tahun Andalusia. Saat itu Eropah dalam kegelapan, kusam dan busuk, serta ahli masyarakatnya ramai yang bah bercampur to. Umat Islam sudah punya 600 buah masjid, 300 tempat mandi awam, 50 buah hospital, 70 buah perpustakaan dan jalanan digantung lampu untuk menerangkan laluan. Sampaikan ada penulis orientalis Stanley Lane Poole menulis dalam bukunya The Moors in Spain pada tahun 1887 bahawa sesudah kejatuhan peradaban Islam, Eropah mendapat cahaya dari pelita yang dipinjam. Sampai sekarang al-Zahrawi diabadikan di Cordoba. Cucunda Che Gayah andai sudah banyak menjual produk kosmetik melalui jualan langsung nanti pergilah melancong ke sana dan ziarahlah rumah nombor 6 di Calle Albucassis, tertera di hadapannya dengan plat gangsa: Di sini diamnya Abul Qasim. Itu sahajalah omelan nenda dahulu.
7.
Nenda Puteri Gunung Ledang,
Ada lagi disorok apa-apa? Janganlah diperam-peram.
8.
Cucunda Che Gayah, inilah petua utama. Tak ada lain lagi lebih utama. Peliharalah iman, dekatkanlah diri dengan Tuhan, sungguh wajah hodoh pun menjadi tampan, andai wajah buruk pun kelihatan manis di mata orang. Paling tidak cucunda, itu semuakan kosmetik-kosmetik dunia sahaja, hiaskanlah dengan akhlak mulia dan ramuan kosmetik akhirat. Pesan nenda, kalau Tuhan sudah suka memandang rupa kita, apa lagilah yang cucunda mahukan?